
Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT),
Alistair Edwards mengesahkan kelab tersebut tidak akan menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.
Menurutnya, penafian tersebut disuarakan pihaknya selepas tular dakwaan bahawa JDT akan mendapatkan Cabrera pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2022 yang sedang dibuka sekarang.
“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana Malaysia Football League mempunyai peraturan bahawa pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook Johor Southern Tigers pada Selasa.
Jelasnya, kelab tersebut mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas lima tahun tersebut.
Terdahulu, sebuah laman portal melaporkan JDT dikhabarkan kembali mengintai khidmat tiga bekas pemain import pasukan itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.
Perkara itu dikongsi menerusi hantaran daripada akaun Facebook, Johor Harimau Selatan yang menyatakan bahawa tiga pemain tersebut merupakan Jonathan Harrera, Gonzalo Cabrera dan Juan Martin.
Ketiga-tiga nama ini dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan yang mana Harrera, Cabrera dan Martin dikatakan bakal kembali ke pangkuan pasukan itu.
Add Comment