Bola Sepak Komentar Rencana Terkini

‘NATURALISASI’ BUAT BOLASEPAK MALAYSIA MACAM MAHARAJA LAWAK



Bicara Otai Sukan, Dr Pekan Ramli

Agaknya begini bunyi pantun syahdu yang akan diluahkan oleh de Paula dan Sumareh jika mereka tidak disenaraikan ke dalam skuad Harimau Malaya ke pusingan kelayakan Piala Asia 2023, yang akan bermula beberapa hari lagi.

Ibarat si Damak watak dalam filem ‘Sri Mersing’ lakonan allahyarham Nordin Ahmad dengan serangkap pantun kepada Pak Malau sebelum merajuk membawa diri meninggalkan bumi Mersing…..

“Kajang Pak Malau kajang berlipat, Kajang saya mengkuang layu, Dagang Pak Malau dagang bertempat, Dagang saya musafir lalu”.

Pasti cair dan luluh hatinya kepada sesiapa yang ditujukan pantun ini. Jika adanya hasrat pasti tertunda, jika ingin berkata-kata pasti lidah terkelu dan jika ada perbuatan pasti tertahan.

Barangkali begitulah kuatnya ’empati’ kepada pemain naturalisasi ini hingga ‘ditelan mati emak, kalau diluah mati bapa’. Agaknya itulah situasi sebenar dihadapi Kim Pan Gon, jurulatih impot dari Korea ini.

Mungkin beliau pun tahu sebenarnya mereka itu ‘ada tidak menambah, tiada pun tidak mengurang’, atau Pan Gon turut berpendapat ‘kalau tiada rotan, akar pun berguna’.

Foto: FAM

Ini baru beberapa kerat pemain ‘naturalisasi’. Bolasepak Malaysia dah jadi

haru biru. Macam ayam bertelor sebiji, riuh sekampung. Bagai rumah yang tak siap-siap, pastilah pahat dan penukulnya tak henti berbunyi.

Naturalisasi tiba-tiba bertukar jadi ‘Natuviralisasi’, terma atau akronim yang saya bina untuk mengambarkan kisah kumpulan pertama pemain naturalisasi yang menjadi viral dan sensasi.

Maka hangatlah kembali isu pemain naturalisasi ini. Timbul pelbagai kecaman negatif untuk diperdebatkan, antaranya pemain tempatan lebih baik dari mereka, prestasi ke laut, malas dalam padang, emosi kacau dan sebagainya.

Sedih dan simpati juga saya pada nasib anak dagang di rantau orang ini. Bukan satu keputusan yang mudah untuk

melupuskan satu kewarganegaraan, tambahan pula itulah tanah tumpah tempat lahirnya mereka.

Memilih kewarganegaraan yang baru tanpa suatu jaminan pasti. Ini suatu perjudian maha besar dalam hidup. ‘Untung sabut timbul, untung batu tenggelam’.

Mungkin mereka tidak pernah mendengar tentang peribahasa kita, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri…..” Kalau mereka tahu dan faham peribahasa ini sudah pasti ada yang ubah fikiran.

Terkenang mereka, saya teringat lagu ‘Anak Dagang’ nyanyian Allahyarham Sudirman, antara lirik lagu tersebut, “anak dagang di rantau orang, biar pandai

membawa diri…..manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang”.

Ini dilema kehidupan sebagai pemain yang dulu mudanya disanjung dan dipuji, namun tidak seorang pun dari mereka yang menyangka tatkala memilih ‘naturalisasi’ mereka menjadi mangsa dikecam dicaci dan dimaki.

Di saat kerjaya di hujung senja, sedarilah bahawa malam pasti akan kunjung tiba.
Ini hanya cerita sebuah kehidupan seorang pemain bolasepak profesional, mereka silih datang dan pergi, kalau memang mereka masih hebat pilihlah…..tiada siapa yang melarang….. jika tidak…. ketepikanlah…..jika dipilih juga…..jawaplah nanti…

Tamat


1 Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

  • Beli pemain luar negara, kena bagi kewarganegaraan..tapi pulangannya tak pernah yg mengembirakan…
    Napa yer???
    bila tengok mereka main pun tak de nampak hebat dan tak nampak ada kelainan pada skill dan tenaga mereka..
    Adakah mereka2 yg menjadi panel/badan pemilih pemain2 dari luar negara ni pun kena ‘kelentong’ dek agen2 yg dilantik..😂
    Pilih pemain pun yg dah nak expired date dan prestasi cam suam2 kuku jer..
    Hanya pandai ngacah2 kaki ala ronaldo jer, tapi tak ke mana..😅

%d bloggers like this: