Tujuh mata menjadi sasaran Harimau Malaya pada tiga perlawanan kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh, kata Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Menurutnya, aksi bertemu Turkmenistan pada Rabu di Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi aksi penting dalam usaha untuk meraih tiga mata pertama.
“Jika kita nak layak (Piala Asia), saya fikir tujuh mata mampu melayakkan kita ke kejohanan itu. Perlawanan pertama menentang Turkmenistan sasaran untuk meraih tiga mata.
“Kita akan menggunakan pendekatan yang sama seperti pasukan yang lain iaitu fokus satu perlawanan terlebih dahulu sebelum perlawanan yang seterusnya.
“Kita tidak tahu mungkin perlawanan kedua kita dapat tiga mata lagi atau aksi ketiga seterusnya,” katanya pada sidang media pra perlawanan menentang Turkmenistan pada Selasa.
Menurutnya, keputusan positif perlu diraih pada perlawanan pertama kerana bukan sahaja dinanti-nantikan oleh pemain tetapi juga penyokong setia Harimau Malaya.
“Kita memilih pendekatan untuk menang dan mendominasi setiap perlawanan tanpa mengira lawan. Bagaimanapun pada setiap aksi akan bergantung kepada taktikal pihak lawan,” ujarnya.
Tambah Pan Gon, pasukan kejurulatihan sudahpun menganalisis permainan Turkmenistan dan beliau cukup yakin perlawanan akan berlangsung rancak.
Add Comment