Walaupun muncul antara watak penting yang membantu Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong pada aksi antarabangsa di Stadium Bukit Jalil pada Rabu, Ariff Aiman Mohd Hanapi masih tidak berpuas hati.
“Saya rasa tidak berpuas hati dengan prestasi saya. Banyak lagi yang perlu diperbaiki; namun saya akan sentiasa berikan yang terbaik apabila diturunkan.
“Lagi pun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), saya pernah beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan saya mahu ambil lagi pengalaman,” katanya selepas aksi bertemu Hong Kong semalam.
Jelas pemain sayap negara itu, dia akan terus berusaha untuk meningkatkan kemampuan dirinya sehingga rasa benar-benar puas hati dengan prestasi semasa.
Mengulas kemenangan tersebut, Ariff Aiman menyifatkan kejayaan tersebut adalah usaha yang digerakkan oleh semua pemain-pemain Malaysia dalam usaha untuk meraih kemenangan kedua pada aksi persahabatan kali ini.
“Saya tak rasa saya ni sebagai ‘key player’, saya hanya pemain biasa. Lagi pun bagi saya semua pemain sebenarnya adalah ‘key player’ untuk pasukan ini.
“Selain itu, saya juga tidak ada rahsia apa-apa kerana menganggap bola sepak ini hobi dan memang saya minat sejak dahulu,” katanya yang menjadi antara watak mengucar-gacirkan kubu Hong Kong sejak wisel dibunyikan.
Add Comment