Pengendali kebangsaan, Kim Pan Gon mendedahkan bakal menggunakan ‘senjata rahsia’ pada aksi persahabatan Tier 1 menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Jumaat.
Menurutnya, perkara itu telah diusahakan oleh pasukan kejurulatihan sejak seminggu yang lalu dan didedahkan kepada semua pemain agar dapat digunakan pada aksi persahabatan.
“Banyak maklumat yang baharu telah diberikan kepada pemain. Mungkin esok kita akan cuba menggunakan senjata rahsia. Tapi mungkin ia masih belum lagi sempurna.
“Jika pemain kita menunjukkan petanda yang positif dari semasa ke semasa sudah tentu situasi ini akan membantu untuk melengkapkan pasukan kita. Kita perlu mencuba pelbagai jenis pendekatan,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau mahu semua pemain menunjukkan kemampuan masing-masing pada aksi persahabatan sebelum dipilih menyertai skuad ke Kelayakan Piala Asia 2023.
Jelasnya, ‘senjata rahsia’ yang cuba dibawa pada aksi persahabatan juga akan dinilai sama ada mampu digunakan pada aksi sebenar kelak.
“Pemain agak kepenatan selepas menerima banyak informasi namun saya melihat mereka dapat menyesuaikan diri secepat mungkin selain menunjukkan apa yang saya mahukan.
“Saya sangat berpuas hati dan bangga dengan pemain. Saya teruja untuk perlawanan menentang Brunei selepas menyaksikan apa yang ditunjukkan pemain kita pada sesi latihan,” ujarnya.
Add Comment