
Malaysia memaksa pasukan tuan rumah, Vietnam sehingga minit ke-110 sebelum lawan memperolehi gol tunggal menerusi Linh Nguyen Tieh bagi membantu pasukan keluar sebagai pemenang pada separuh akhir bolasepak Sukan Sea ke-31 pada Khamis.
Kemenangan 1-0 itu memastikan Vietnam berjaya mara ke pentas final untuk bertemu Thailand yang sebelum itu berjaya menewaskan Indonesia juga 1-0 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Rimau Muda sebelum itu telah diasak bertubi-tubi namun kecemerlangan penjaga gol, Azri Ghani dan benteng negara banyak membantu skuad Brad Maloney menafikan peluang awal Vietnam.
Beraksi di gelangang sendiri, Vietnam yang mendapat puluhan ribu sokongan penyokongnya mengasak kubu Malaysia seawal minit pertama.
Pertahanan kental dicipta oleh Rimau Muda sepanjang perlawanan berlangsung selepas sedar sedikit kealpaan sahaja bakal memberikan ruang kepada lawan untuk menjaringkan gol.
Apa yang dibimbangkan oleh Malaysia akhirnya muncul pada minit ke-110 apabila lawan dihadiahkan sepakan percuma selepas Quentin Cheng mengasari pemain lawan.
‘Set piece’ tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Vietnam untuk mendapatkan jaringan tunggal selepas gagal melakukannya pada masa sebenar 90 minit.
Add Comment