
Kewujudan ‘tokong’ dalam arena bolasepak negara mampu menjejaskan mana-mana pasukan untuk bersaing secara adil dan sukan tersebut bukan diadakan untuk individu.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau menyuarakan perkara tersebut demi kebaikan bolasepak tanah air.
“Sebenarnya bola sepak bukan untuk individu, sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis ‘fair play’, tetapi ada ‘tokong’. Semua nak kena tanya dulu, jadi nak main bola macam mana,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Mengulas lanjut, ramai turut mempersoalkan keputusan pengadil perlawanan memberikan tambahan masa 10 minit pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) baru-baru ini.
“Bukan saya sahaja mempertikaikannya tetapi ramai lagi yang turut mempersoalkan di laman media sosial,” ujarnya.
Kata Sanusi, sebagai ahli gabungan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), KFA mahu perkara seperti ini dapat ditangani dengan segera.
“Saya rasa main bola masa tambahan paling panjang pun tujuh minit dan itu pun kalau berlaku patah kaki contohnya, yang memerlukan pemain diusung keluar.
“Dalam perlawanan itu patah jari pun tak ada, tetapi masa tambahan sampai 10 minit. Ini sesuatu yang ‘very rare’,” katanya lagi.
Add Comment