Antarabangsa Badminton Komentar

WASPADA KEHADIRAN INDIA


Foto: Getty Image

Minda Sukan

Oleh: Christopher Raj

30 tahun yang lalu, Malaysia menjuarai Piala Thomas buat kali yang kelima selepas kali terakhir melakukannya pada 1967. Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir di hadapan ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Sejak itu, Malaysia gagal mengulangi kejayaan bersejarah tersebut. Kemarau ini kian berterusan berikutan kekalahan skuad negara di tangan India pada pusingan suku akhir Piala Thomas 2022 yang berlangsung di Bangkok.

Rentetan itu, India pula muncul sebagai antara kuasa besar badminton era moden selepas kejayaan mereka menjuarai Piala Thomas buat kali pertama.

Foto: Getty Image

India sekadar muncul naib juara kumpulan C selepas tewas kepada Chinese Taipei pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Di peringkat kalah mati, India bukan sahaja mengecewakan Malaysia dengan kemenangan 3-2, malah mereka juga menumpaskan Denmark dengan keputusan yang sama di peringkat separuh akhir.

Selepas Korea Selatan menerusi skuad wanita mereka muncul juara Piala Uber dengan mengejutkan China, India pula mencipta sejarah dan kejutan ke atas Indonesia dengan kemenangan bersih 3-0.

Apa yang membuatkan mereka muncul juara? Apakah kekuatan mereka?

Ia adalah satu proses yang cukup panjang. Siapa masih ingat lagi nama Prakash Padukone? Beliau merupakan juara perseorangan lelaki kejohanan All England pada 1980. Dan sejak itu, India sekadar pelengkap jadual dalam setiap kejohanan.

Segalanya bermula ketika India menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 2010. Ketika itu, Saina Nehwal mula dipersiapkan dan akhirnya berjaya memenangi pingat emas perseorangan wanita dengan menewaskan Datin Wong Mew Choo.

Pada usia 20 tahun, Saina Nehwal mula mencipta nama di pentas antarabangsa dengan meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

India juga mempunyai dua akademi badminton yang memainkan peranan penting terhadap pembangunan sukan itu. Akademi Pullela Gopichand di Hyderabad dan Akademi Prakash Padukone di Bengaluru telah banyak melahirkan ramai bakat-bakat baru buat India.

Kedua-dua akademi tersebut mempunyai fasiliti yang serba lengkap dan canggih dan mendapat sentuhan daripada legenda badminton mereka Padukone dan Vimal Kumar

Kini, nama-nama seperti Lakshya Sen, Chirag Shetty, Satwiksairaj Rankireddy dan Srikanth Kidambi sedang mengorak langkah untuk mencabar dan menggegar nama-nama besar sukan badminton yang lain.

Sama seperti di Malaysia, kita perlu percaya kepada proses (trust the process). Kejayaan tidak boleh dicapai dengan sekelip mata sebaliknya banyak kerja perlu dilakukan untuk mempersiapkan jaguh-jaguh badminton negara.

Dalam masa yang sama, negara-negara kuasa besar yang lain seperti China, Indonesia, Malaysia, Korea, Denmark dan Jepun perlu waspada dengan kemunculan India sebagai kuasa besar baharu dalam sukan badminton.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: