
Sang Kenari membayangkan jendela perpindahan kedua yang dibuka pada penghujung Mei ini menyaksikan mungkin sehingga lima pemain baharu akan dibawa masuk.
Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak berkata, rombakan perlu dilakukan untuk meningkatkan kembali keupayaan pasukan bagi memberi saingan di Liga Malaysia dan juga juga Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Jun.
“Kami adalah Kedah dan kami mahu jadi yang terbaik. Pada tempoh jendela perpindahan kedua ini, kami merancang melakukan pertukaran seramai dua atau tiga atau mungkin hingga lima pemain kerana kami mahu beraksi pada tahap terbaik di peringkat Piala AFC musim ini.
“Selain itu jangan lupa perlawanan seterusnya bertemu JDT di mana kami perlu bersiap sedia dengan bekerja lebih keras pada tahap lebih tinggi terutama membabitkan kemampuan dan kecergasan,” katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman pada Selasa.
Terdahulu KDA FC gagal meraih tiga mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan FC pada aksi kesembilan Liga Super.
Menurut Aidil Sharin, pada aksi tersebut juga pasukan gagal meraih mata penuh seperti yang dicatatkan pada tiga perlawanan terdahulu.
“Kami tidak dibolosi pada perlawanan ini. Namun kami juga tidak dapat beraksi seperti dirancang antaranya kerana kehilangan pemain import tengah Dechi Marcel untuk memberi sokongan kuat kepada penyerang Ngah Wanja.
“Jang Suk Won pula masih mahu bersama pasukan walaupun beliau masih belum pulih daripada kecederaan, ditambah Syafiq Ahmad mengalami kecederaan pada babak pertama, jadi ini adalah sesuatu yang tidak kami jangkakan,” ujarnya.
Add Comment