Bola Sepak

Golf : kejayaan Sukan SEA motivasi hadapi sukan Asia


 


Kejayaan pasukan golf Malaysia meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan SEA ke-31 di Hanoi meningkatkan motivasi mereka untuk beraksi di Pentas Asia pula.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, walaupun menghadapi cabaran pandemik Covid-19, kekurangan dana dan pertembungan perlawanan,  persatuan itu mengota janji menyumbang empat pingat kepada pungutan pingat keseluruhan Malaysia termasuk dua pingat emas.

“Kami amat gembira dengan kejayaan Pasukan Golf pada Sukan SEA tahun ini dengan memenangi dua pingat Emas bersejarah bagi Individu Lelaki dan Pasukan Lelaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Menurutnya, MGA tidak akan berdiam diri dan berpuas hati dengan kejayaan tersebut dan akan terus bekerja keras untuk mempromosikan dan membangunkan permainan golf di negara ini.

“Matlamat kami seterusnya ialah Sukan Asia yang telah ditangguhkan akibat wabak . Kami akan menggunakan masa tambahan yang kami ada untuk melatih pemain yang telah kami peruntukkan untuk Sukan Asia.

“Terima kasih kepada pemain kerana menang besar dalam Sukan SEA ini serta Pengurus Pasukan, En Teoh Piek Kee dan Penolongnya, En Shairul Erwin atas sumbangan dan kepimpinan anda yang berharga,” ujarnya.

Tambahnya, penghargaan turut diberikan kepada penaja yang menyokong pasukan golfnya seperti Crestlink, Dunlop Srixon Asia dan Titleist Asia.

“Terima kasih juga buat dan Kelab Golf yang telah membuka pintu untuk membenarkan pemain Sukan SEA kami berlatih secara percuma di Kelab Golf Diraja Selangor, Saujana Golf & Country Resort dan Templer Park Country Club ” katanya.

Dua pingat emas diraih iaitu melalui acara individu lelaki, Ervin Chang dan berkumpulan lelaki yang dibarisi Rhaasrikanesh, Ervin Chang, Marcus Lim dan A Nateeshvar.

Perak pula menerusi acara berkumpulan wanita, Jeneath Wong dan Mirabel Ting manakala gangsa menerusi individu wanita, Jeneath Wong.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: