Bola Sepak Semasa Terkini

80 PASUKAN BERENTAP DALAM PIALA CABARAN MILO 2022 HUJUNG MINGGU INI


Sebanyak 80 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka bakal menghangatkan saingan edisi sulung Piala Cabaran MILO 2022 yang akan berlangsung hujung minggu ini di JSA Arena, sebuah fasiliti sukan serba lengkap yang terletak di Setia Alam.

MILO menerusi Pengurus Pemasaran MILO, Kerwin Lim menyatakan komitmen mereka dengan menjalinkan kerjasama bersama Akademi JSA bagi memacu program bola sepak akar umbi dengan menganjurkan pertandingan kompetitif di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, “Ini adalah pentas terbaik buat para pemain yang masih lagi berada di bangku sekolah untuk beraksi secara kompetitif sekaligus dapat mengasah bakat mereka.”

“Malah, objektif penganjuran kejohanan ini adalah bertujuan melonjakkan keyakinan para pemain cilik untuk bergelar pemain profesional selain menggalakkan mereka untuk aktif bersukan.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Akademi Sukan JSA kali ini di dalam menganjurkan kejohanan Piala Cabaran MILO buat julung kalinya tahun ini.

Antara pasukan yang dijangka mencuri tumpuan pada hujung minggu ini adalah pasukan TSS Selangor bimbingan Mohd Afiq Tahir yang mahu mengungguli saingan Piala Cabaran MILO.

“Pasukan kami telah bersedia sepenuhnya dan akan mempamerkan aksi bertenaga hujung minggu ini. Saya percaya dengan bakat muda yang ada dalam pasukan serta yakin untuk pulang selaku juara.”

Dalam pada itu, wakil dari Pulau Pinang, Penang Panthers juga melaungkan amaran awal kepada pasukan lain. Nada keyakinan itu disuarakan oleh pengurus pasukan Muhaizam Mokhtar.

Menurutnya, “Kami sangat yakin dengan kemampuan pasukan untuk mencipta kejutan. Kami bukan sekadar pelengkap pasukan sebaliknya kami mampu mara lebih jauh untuk menempah slot ke Liga Juara-Juara MILO.”

Kejohanan edisi sulung ini dibahagikan kepada lima peringkat umur iaitu Bawah-8, Bawah-10, Bawah-12, Bawah-14, dan Bawah-17. Manakala 12 pasukan terbaik bagi setiap kategori akan beraksi di kejohanan Liga Juara-Juara Remaja Milo.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: