Sri Pahang FC memperolehi kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2022 apabila menewaskan Penang FC 3-1 pada aksi keenam di Stadium Darul Makmur pada Sabtu.
Tok Gajah yang sebelum ini sekadar mencatatkan satu seri dan dua tewas kembali berada di landasan untuk mencabar kerana masih berbaki dua aksi yang ditunda.
Tiga mata pertama tersebut jelas menceriakan penyokong Sri Pahang FC yang sebelum ini bimbang dengan prestasi pasukan mereka yang belum menemui sentuhan.
Tuan rumah memperolehi jaringan menerusi Azam Azih pada minit ke-28, David Rowley pada minit ke-65 dan Sean Gianelli pada minit ke-75.
Pelawat pula memperolehi satu gol saguhati menerusi Syukri Hamid pada minit ke-47.
Sementara itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pasukan pelawat Sarawak United FC juga mencatatkan kemenangan pertama selepas enam aksi dengan menjinakkan tuan rumah, PJ City FC 3-1.
Bujang Senang memperolehi gol menerusi Boris Kok pada minit ke-21 dan dua gol Francis Kone pada minit ke-46 dan penalti minit ke-85.
Pelawat berjaya menanfaatkan ruang yang dicipta manakala tuan rumah terpaksa berpuashati dengan gol saguhati R Kogileswaran pada minit ke-75.
Sri Pahang kini berada di tangga kesembilan dengan empat mata manakala Sarawak United di tangga ke-11 juga dengan empat mata.
Add Comment