
Sabah FC berjaya merampas kedudukan kedua Liga Super 2022 selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-0 pada aksi keenam liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.
Tuan rumah berjaya mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan namun berkongsi jumlah mata sama dengan KDA yang kini jatuh ke tangga ketiga melalui perbezaan gol.
Pada perlawanan tersebut, tuan rumah dilihat mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan gol awal
pada separuh masa pertama namun berjaya dinafikan oleh barisan pertahanan Sang Kenari.
Walaubagaimanapun, Sang Badak kemudiannya memperolehi gol pertama melalui penyerangnya, Amri Yahyah pada minit ke-51 bagi menewaskan penjaga gol pelawat, Iham Amirullah selepas melakukan pergerakan satu dua bersama Taiki Kagayama.
Seminit kemudian, Sabah FC dihadiahkan sepakan penalti apabila Amri dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Rodney Celvin namun peluang itu gagal disempurnakan oleh bekas ketua pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar apabila percubaannya berjaya ditepis keluar oleh Ilham.
Bagaimanapun, Park Tae Su berjaya meletakkan Sabah FC kepada 2-0 hasil sepakan percuma yang menarik pada minit ke-56.
Amri menambah derita pelawat pada minit ke-61 apabila menjaringkan gol ketiga selepas menerima hantaran dari sebelah tepi.
Amri kemudian membuktikan dia adalah sebagai penyerang yang digeruni di Liga Malaysia apabila meledakkan hatriknya pada minit ke-71 untuk terus meletakkan Sabah FC selesa 4-0 di hadapan.
Sang Kenari yang dilihat serba serbi tidak kena dilihat cuba bangkit untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol namun keputusan 4-0 kekal hingga ke wisel penamat.
Add Comment