Bola Sepak

Aidil Sharin akui kesilapan, ubah taktikal lawan Penang FC berjaya


Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak mengakui kesilapan pencaturan sewaktu tewas 4-1 kepada Selangor FC pada aksi keempat Liga Super minggu lalu.

Namun beliau gembira apabila Sang Kenari berjaya melupakan kekalahan tersebut dan bangkit membenam Penang FC 2-1 pada pertembungan ‘Northern Derby’ Liga Super kelima di Stadium Bandaraya pada Ahad.

“Hari ini kita beraksi dengan empat pertahanan berbanding sebelum ini (lawan Selangor FC). Saya akui kesilapan saya dan bertanggungjawab kepada kekalahan lepas kerana beraksi dengan tiga pertahanan.

“Pada aksi ini kita lakukan perubahan dan meraih kemenangan. Harap kita tidak melakukan kesilapan lagi pada perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Bandaraya selepas perlawanan tersebut.

Pujian turut diberikan kepada penyerangnya, Ronald Ngah Wanja yang berjaya menjaringkan dua gol kemenangan pada separuh masa kedua selepas ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

Jelas Aidil Sharin, penyerang dari Cameroon itu menafikan komen-komen negatif di laman sosial sebelum ini yang meragui status dan kualitinya.

“Ngah Wanja menjaringkan dua gol pada perlawanan ini. Semua orang perlu faham dia baru beraksi dengan pasukan ini dan perlu bersabar. Walaupun berlaku banyak perubahan dalam pasukan ini kita masih mampu berada di kelompok atasan liga super.

“Penyokong perlu bersabar dengan membantu perkembangan Liga Malaysia dengan komen positif dan bukannya negatif,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: