Bicara Otai Sukan
Oleh: Dr Pekan Ramli
Baru-baru ini ada rakan saya seorang Jurulatih Kebangsaan (tak perlu sebut namanya dan sukan apa) menghantar pesanan menerusi aplikasi whatsapp kepada saya, ‘please support (……..) la, till when they gonna talk about football, been donkey years……n will never change’…terkesima juga saya menerima pesanan itu.
Dia (coach itu) memang kerap membaca tulisan-tulisan dan analisis-analisis saya di media cetak dan juga menerusi media atas talian dan selalu memberi ‘respon’ yang sangat baik dan maklum balasnya
sering mengembirakan saya. Namun pesanan ringkas beliau kepada saya kali ini amat berbeza. Ia seolah-olah mengambarkan betapa tingginya tahap kebosanan beliau kepada sukan bolasepak ini. Mengapa sukan ini yang setiap hari dibicarakan oleh media dan melemaskan sukan-sukan lain yang imejnya lebih baik dari sukan bolasepak ini.
Seolah-olah sukan bolasepak di negara kita ini dipenuhi dengan pelbagai ‘sandiwara’ dan ‘kepalsuan’. Tidak seindah dan sehebat seperti yang mampu digambarkan kecuali satu-satunya daripada kelab bolasepak unggul (ibarat kelab dari kasta brahmin atau brahmana) dari selatan tanahair kita.
Kebosanan sahabat saya itu mungkin merujuk kepada cerita kegagalan demi
kegagalan Harimau Malaya, alasan demi alasan dari pelbagai kegagalan, kecaman demi kecaman bertali arus, maruah negara tergadai dan diperkotak katikkan manakala ‘color story’ tentang kepincangan pengurusan kelab yang bersaing dalam sebuah liga profesional (kononnya) tetapi malangnya tidak diuruskan secara profesional, isu gaji (hutang) tertunggak berbulan-bulan malah ada melangkau tahun, keluhan menyedihkan dan memilukan dari pemain, jurulatih yang disingkirkan kerana mendedahkan isu itu kepada pihak media dan macam-macam lagi. Makin lama makin merisaukan kita. Makin banyak pasukan atau kelab dibelenggu hutang dan kantung yang semakin tipis.
Itu bagi pasukan yang beraksi dalam liga bolasepak profesional kita, belum lagi
pasukan-pasukan yang beraksi dalam liga bolasepak amatur kita iaitu M3 yang dikatakan beberapa pasukan sudah mula berdepan masalah kegagalan membayar gaji atau elaun pemain sedangkan liga belum pun separuh perjalanan.
Ya, apakan daya saya, cerita bolasepak inilah yang pihak media mahukan ulasan atau analisis dari saya, sukan-sukan lain mungkin kurang atau belum begitu menarik minat mereka pada waktu sekarang ini.
Maafkan saya ‘coach’, saya usahakan nanti jika ada kupasan-kupasan menarik sukan ‘coach’ itu untuk saya kongsikan.
Itulah warna warni bolasepak kita, biarpun dipenuhi dengan ‘sandiwara’ dan penuh dengan ‘kepalsuan’, apa lagi yang boleh
kita perkatakan…….’dialah intan dialah nyawa’, ‘dialah racun dialah penawar’……inilah bolasepak kita, sukan nombor satu negara ‘maju setapak ke hadapan, mundur sepuluh langkah ke belakang’.
TAMAT
Add Comment