Bola Sepak Rencana Terkini

Permulaan baik, cabaran lebih hebat menanti JDT – TMJ


Sumber Gambar : JDT FC

Oleh: HASYA

Pemilik Johor Darul Tazim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim memberikan pujian kepada pemain-pemainnya atas kemenangan besar 5-0 ke atas kelab dari China, Guangzhou FC pada aksi pertama Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.

Bagaimanapun, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menyifatkan cabaran lebih hebat bakal menanti gergasi bolasepak Liga Malaysia selepas ini.

“Permulaan yang baik untuk kami dalam kempen Liga Juara-Juara AFC. Cabaran yang lebih hebat menanti, tetapi walau apa pun ianya adalah permulaan yang baik. Terima kasih kepada para penyokong atas sokongan anda,” katanya seperti yang dipetik melalui Facebook JOHOR Southern Tigers.

Bergson da Silva membuktikan sentuhan berbisa apabila meledak hatrik pada perlawanan tersebut pada minit ke- 10, 28 dan 52.

Harimau Selatan juga memperolehi gol hasil jaringan sendiri pemain lawan pada minit ke-13 oleh He Lipan.

Ramadhan Saifullah kemudiannya melengkapkan malam gemilang wakil tunggal negara di pentas ACL ini dengan meledakkan gol pada minit ke- 81.

JDT bakal berdepan Ulsan Hyundai FC dari Korea Selatan pada 18 April sebelum menghadapi Kawasaki Frontale FC dari Jepun pada 21 April ini.

Bagi pusingan kedua Kumpulan I menyaksikan JDT menghadapi Kawasaki Frontale FC pada 24 April, Ulsan Hyundai FC pada 27 April dan Guangzhou FC pada 30 April.

Permulaan cemerlang itu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora mengutip tiga mata sebagai pendahulu kumpulan I selepas Ulsan Hyundai FC dan Kawasaki Frontale FC masing-masing mengumpul satu mata selepas terikat 1-1 pada satu lagi aksi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: