
Oleh: HASYA
Kemenangan dramatik Perak FC 2-1 ke atas Selangor FC pada saingan Liga Premier 2022 baru-baru ini tidak membawa sebarang makna apabila sekali dipotong enam mata lagi oleh Badan bebas, First Instance Body (FIB) pada Jumaat.
Pemotongan tersebut susulan kegagalan pasukan tersebut gagal menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan Reserve Team berdasarkan Akuan Berkanun (15 Disember 2021) bagi semua tunggakan setakat November 2021.
Sheikh Mohd Nasir yang mempengerusikan Mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL berkata, pengurusan Perak FC juga masih belum membuat pembayaran atau persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak pemain dan pegawai Perak FC tahun 2022.
Menurutnya, Perak FC masih gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada 14 April 2022 meskipun kelab Liga Premier itu sudah dikenakan hukuman pertama pemotongan tiga mata pada 1 April 2022 selepas gagal berbuat demikian pada 31 Mac 2022.
“Mesyuarat FIB memutuskan melaksanakan hukuman pemotongan enam mata bagi saingan Liga Premier 2022 susulan kegagalan Perak FC membuat pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pada tarikh akhir pada semalam.
“Keputusan ini juga mengambil kira kegagalan Perak FC yang tidak mengemukakan bukti bayaran ataupun persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Jumaat.
Jelasnya lagi, tindakan susulan menanti kelab tersebut pada 22 April ini dan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga Pengarah MFL jika masih belum ada penyelesaian “Tindakan seterus menanti mereka sekiranya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh hukuman kedua dibuat dan bukti bayaran penuh ataupun persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum 21 April 2022,” ujarnya.
Sheikh Mohd Nasir berkata, sehingga kini, FIB belum menerima sebarang dokumentasi daripada Perak FC untuk meyakinkan pihanya mengenai kemampuan pasukan itu menyelesaikan tunggakan gaji 2021 dan 2022 serta kedudukan kewangan kelab dalam mengharungi baki saingan liga bagi musim 2022.
Add Comment