AMMAR HAZIQ
Tidak sampai seminggu surat aduan rasmi tentang mutu dan keputusan pengadil dipertikaikan tentang aksi menentang Kedah Darul Aman FC pada Rabu lalu dihantar oleh Sri Pahang FC, kini surat rasmi kedua pula dihantar pada Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Mohammed Suffian Awang berkata, surat kedua berkenaan mutu dan keputusan pengadil dipertikaikan bagi perlawanan Sri Pahang FC menentang Petaling Jaya FC pada Sabtu.
Menurutnya, jaringan pemain lawan , R. Barathkumar diambil kira
walaupun terdapat pemain Pj City FC yang lain, Mohd Khyril Muhymeen Zambri yang didapati terkena bola dan menghalang penjaga gol Sri Pahang FC dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-85.
“Kedudukan ofsaid Mohd Khyril Muhymeen Zambri itu di anggap sebagai mencampuri, mengganggu dan mendapat keuntungan dari kedudukannya.

“Penjaga garisan telah mengangkat bendera mengisyaratkan ofsaid telah berlaku dan walaubagaimanapun pengadil telah mengubah keputusan dan keputusan gol diberikan setelah provokasi dilakukan oleh beberapa pemain dan pegawai dari PJ City FC,” katanya menerusi surat tersebut.
Jelasnya, Sri Pahang FC berasa amat kesal dengan insiden yang sekali lagi berlaku kepada pasukan tersebut.
“Kelemahan ini telah mengubah keputusan perlawanan yang sepatutnya.
Justeru, perkara ini telah mengakibatkan kerugian dan impak yang sangat besar kepada seluruh warga Sri Pahang FC.
“Sri Pahang FC dengan ini memohon agar kelemahan seperti ini dapat diatasi di masa-masa akan datang dan pengadil yang berkenaan dikenakan tindakan yang tegas dan penggantungan tugasan,” tegasnya.
Add Comment