
AMMAR HAZIQ
Juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Melaka United FC (MUFC) 2-0 pada aksi keempat Liga Super 2022 pada Sabtu.
Tiga mata penting itu diperolehi menerusi Palou Josue seawal minit ke-3 dan 30 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk membantu mereka berada di tangga keenam dengan empat mata selepas menang satu, seri satu dan tewas dua perlawanan.
Manakala MUFC yang sudah menerima tonik selepas difahamkan menerima pembayaran gaji sebelum ke Lembah Klang nampaknya masih belum mampu membantu meraih sekurang-kurangnya satu mata dan kini menghuni tangga ke-10 dengan satu mata.
Di Georgetown, hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk melakukan kejutan tidak kesampaian apabila jaringan penalti Zaquan Adha Abd Razak pada minit ke-33 disamakan kedudukan juga melalui sepakan penalti oleh pemain Penang FC, Hilal El-Helwe selang lima minit kemudian.
Keputusan 1-1 itu meletakkan NSFC di tangga kelima dengan lima mata dan Penang FC di tangga ketujuh dengan tiga mata.

Di Kuantan, hasrat Sri Pahang FC untuk memperolehi tiga mata pertama mereka tidak kesampaian apabila diikat 1-1 oleh Petaling Jaya City FC di Stadium Darul Makmur.
Tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 menerusi Manuel Hidalgo pada minit ke-39 namun disamakan kedudukan oleh R Barathkumar pada minit ke-86.
Sri Pahang FC kini berada di tangga kesembilan dengan satu mata namun masih berbaki dua perlawanan tertunda manakala PJ City FC pula berada di tangga ketiga dengan mengumpul tujuh mata.
Add Comment