AMMAR HAZIQ
Sri Pahang FC telah menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat berkaitan mutu dan keputusan pengadil pada aksi ketiga Liga Super 2022 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berkesudahan mereka tewas 1-0.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Mohamed Suffian Awang, surat itu dibuat bagi merekodkan secara rasmi ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadil dan pembantunya pada aksi Rabu lalu.

“Kelemahan ini telah mengakibatkan impak yang besar kepada Sri Pahang FC
terutamanya dari segi motivasi para pemain dan pegawai pasukan.
“Sri Pahang FC dengan ini memohon agar kelemahan seperti ini dapat diatasi di masa-masa akan datang dan pengadil yang berkenaan dikenakan tindakan yang tegas dan penggantungan tugasan,” katanya menerusi surat tersebut.
Mohamed Suffian berkata, pihaknya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM bahawa terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan.

Jelasnya, antara keputusan itu adalah tandukan gol yang dijaringkan oleh Johan Cedric Francois Martial pada minit ke-80.
“Sri Pahang FC juga berpeluang menjaringkan gol menerusi David William Rowley pada minit ke-62,
namun diberikan keputusan ofsaid walaupun berada dalam kedudukan onsaid.
“Jaringan gol oleh Nurizzat Che Awang turut dinafikan pada minit ke-90+3,” ujarnya.





Add Comment