Basikal

‘Acara Berbasikal Terulung Dunia’ L’Etape Malaysia sasar 4,000 pelumba


PECINTA-pencinta aktiviti berbasikal di Malaysia akhirnya berpeluang merasai sendiri pengalaman berkayuh dalam perlumbaan Tour De France dengan menyertai L’Étape Malaysia L’Étape Malaysia yang bakal dilangsungkan buat julung kalinya pada 4 Jun 2022 ini di Pantai Desaru.

Digelar selaku ‘Acara Berbasikal Terulung Dunia’, L’Étape oleh Tour de France adalah satu-satunya siri ‘cyclosportive’ yang memberi peluang buat penunggang basikal amatur untuk berkayuh ibarat sang juara Tour de France dengan penuh semangat sambil menikmati suasana dan pemandangan indah secara berkumpulan bersama penunggang-penunggang lain. Acara bersiri ini telah pun dilangsungkan di lebih 20 buah negara termasuk Perancis, China, Thailand, Mexico, Brazil, Australia dan Malaysia kini akan menjadi destinasi terbaharunya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, L’Etape ini antara acara yang dinanti-nantikan dan diharap dapat menaikkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

“Sebagai tuan rumah bagi L’Étape Malaysia, kami berharap ianya dapat memartabatkan sektor pelancongan di Johor bagi mencapai reputasi premium yang sepatutnya; iaitu untuk meletakkan serta mengukuhkannya di peringkat global.

“Acara seperti ini membantu memperkenalkan Johor kepada pelawat tempatan dan antarabangsa. Kami berharap peserta L’Étape Malaysia bukan sahaja datang ke sini untuk berbasikal tetapi juga merasai budaya ikonik Johor, tempat menarik dan makanan di sini,” jelasnya ketika majlis perasmian pada Selasa.

Tambahnya, L’Étape Malaysia dapat menunjukkan kepada dunia luar bahawa Johor adalah destinasi bertaraf dunia, sama ada dari segi infrastruktur, acara dan modal insan.

“Kami berkemampuan menganjurkan lebih banyak acara bertaraf global. Ini adalah sesuatu yang akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan saya pada masa akan datang.”

Kesemua laluan yang telah mendapatkan kelulusan pakar-pakar Tour de France adalah dirancang khusus mengikut kesesuaian kumpulan penunggang baharu mahupun berpengalaman.

Selain landskap semulajadi yang mempesonakan, para penunggang juga akan dapat menikmati cuaca berangin sepanjang tahun di sini. Destinasi peranginan pantai bersepadu ini menampilkan sebilangan rangkaian hotel dan resort terkemuka dunia, dua lapangan golf bertaraf kejohanan, sebuah pusat persidangan serta sebuah taman tema air.

“ASO dan Tour de France berasa bangga untuk menjejakkan kaki ke Malaysia untuk kali pertama bagi penganjuran acara L’Étape Malaysia oleh Tour de France. Kami berbesar hati untuk memberi peluang kepada para penunggang basikal tempatan untuk menikmati sendiri pengalaman berlumba dalam Tour de France di laluan Pantai Desaru yang serba indah.

“Layanan mesra Malaysia yang terkenal di mata dunia sememang boleh diterap bersama nilai-nilai Tour de France, dan kami yakin semua peserta amatur L’Étape Malaysia oleh Tour de France pasti akan turut merasai semangat dan pengalaman yang sama sebagaimana yang dilalui penunggang profesional ketika beraksi di pentas Tour de France,” ujar Clément Galzy daripada Amaury Sport Organisation (ASO).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, Riduwan Matni berkata,Malaysia sememangnya memiliki cukup ramai penunggang basikal berpengalaman dan amatur kerana sambutan yang kami perolehi adalah amat memberangsangkan.

“Setakat ini, sebanyak 75 peratus kapasiti sudah pun terjual dan kami mensasarkan penyertaan 4,000 pelumba bagi edisi sulung L’Étape Malaysia ini. Ini menunjukkan betapa sukan berbasikal semakin mendapat tempat di hati orang ramai di Malaysia dan benua Asia secara keseluruhan. Kami sedia mengalu-alukan mereka ke Pantai Desaru yang indah ini untuk mengambil bahagian dalam L’Étape Malaysia yang pastinya meninggalkan seribu satu kenangan untuk semua,” ujarnya.

L’Étape Malaysia adalah anjuran bersama MUSE Group Asia dan Sports Johor Sdn. Bhd. dengan rakan-rakan kongsi lain seperti Malaysia Airlines, Desaru Coast, aminoVITAL, Chek Hup, Majlis Sukan Negeri Johor, dan Buletin FM. Ia pastinya menjadi acara ikonik buat para pencinta acara berbasikal kerana mereka akan dicabar untuk berkayuh seperti seorang pelumba profesional menerusi dua pilihan jarak laluan berlainan iaitu 140km dan 60km. Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan bagi kedua-dua jarak berkenaan: Lelaki Individu, Wanita Individu, Lelaki Berpasukan (6 sepasukan), Wanita Berpasukan (6 sepasukan) dan and Pasukan Campuran (6 sepasukan dengan sekurang-kurangnya 1 ahli wanita).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: