Bola Sepak

Pan-gon ‘lulus’ ujian pertama, Akhyar kembali sentuhan gol


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon dianggap lulus pada ujian pertama selepas skuad bimbingannya menang 2-0 ke atas Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Singapura pada Rabu.

Walaupun masih terlalu awal untuk menghamburkan pujian kepada bekas pengendali Hong Kong itu, Pan-gon dilihat berjaya menerapkan corak permainan pantas selain tekanan kepada pemain lawan memberikan kelainan pada aksi kali ini.

Turun dengan semangat baharu, Malaysia yang kini menghuni tangga ke-154 dunia tidak menunggu lama untuk mengegarkan gawang lawan selepas Akhyar Rashid meletakkan pasukan di depan seawal minit ke-3.

Gol berpunca dari tindakan bijak pemain berkenaan yang mengawal bola dan menggelecek pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gawang Filipina, Neil Etheridge.

Tidak cukup dengan gol tersebut, Harimau Malaya terus garang selang seminit kemudian menerusi rembatan Syafiq Ahmad yang mengegarkan tiang gol lawan selain rembatan susulan Syamer Kutty yang berjaya dinafikan pertahanan lawan.

Usaha berterusan skuad kebangsaan memburu gol kedua berhasil dan kali ini Akhyar sekali lagi memastikan Etheridge mengutip bola dalam gawang sendiri pada minit ke-24.

Gandingan Safiq Rahim, Syafiq dan Akhyar nyata berbisa selepas bola lorangan menarik dari Safiq berjaya dibaca Syafiq yang melakukan larian sebelum membuat hantaran kepada Akhyar yang berada dalam posisi terbaik menjaringkan gol.

Ketenangan pemain berkenaan sememangnya harus dipuji apabila dia sekali lagi berjaya memperdayakan pertahanan sebelum melakukan rembatan untuk memastikan bola terus menerjah jaring gol Filipina.

Memasuki babak kedua, Harimau Malaya melakukan tiga pertukaran serentak selepas berlangsungnya 10 minit babak kedua bermula dengan mengeluarkan Akhyar, Safiq dan Kuzaimie Piee dan membawa masuk Mohamadou Sumareh, Aidil Zafuan serta Liridon Krasqniqi.

Pertukaran tersebut dilihat memberikan lebih ruang buat Arif Aiman yang turut memiliki peluang menambah jaringan namun rembatan derasnya pada minit ke-60 berjaya ditepis Etheridge.

Pan-gon terus melakukan dua pertukaran apabila membawa masuk Safawi Rasid serta Nor Azam Azih dan mengeluarkan R Kogileswaran serta Syafiq Ahmad.

Safawi tidak menunggu lama untuk menguji gawang Filipina apabila melakukan rumbatan dari luar kotak penalti selang dua minit kemudian namun sedikit tersasar dibahagian kanan pintu gol lawan.

Berbaki 10 minit terakhir, Harimau Malaya terus membuat pertukaran keenam dengan mengeluarkan Arif Aiman dan membawa masuk pemain yang beraksi diposisi pertahanan, Quentin Cheng.

Harimau Malaya dilihat tidak mengendurkan corak permainan dengan serangan berterusan menerusi Sumareh dan Safawi serta Liridon namun tiada jaringan gol terhasil dan keputusan 2-0 kekal memihak Malaysia.

Selepas ini Harimau Malaya akan menamatkan siri perlawanan persahabatan menentang Singapura, Sabtu ini sebelum  bertemu kelab tempatan, Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini.

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: