Bola Sepak

“Pemain bukan mesin atau komputer” – KPG


Pan-gon bersama barisan pemain dan pengurusan Harimau Malaya sebelum berlepas ke Singapura pagi Selasa.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

“PEMAIN bukan mesin atau komputer yang boleh terima semua taktikal yang diterapkan dalam sekelip mata,” tegas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Tambahnya lagi, sebagai pemain bukanlah mudah untuk mereka semua terima taktikal yang diterapkan dalam sekelip mata dan seterusnya mampu meraih keputusan positif pada setiap perlawanan yang diharungi mereka kelak.

Pada masa sama, Pan-gon juga mahu penyokong Harimau Malaya tidak  mengharapkan bulan dan bintang pada aksi pertama skuad kebangsaan pada perlawanan persahabatan kelak kerana masih banyak lagi perkara harus dipelajari dan ditempuhi pemain dalam usaha membina pasukan yang mantap.

“Saya berpuas hati dengan sesi latihan yang kita lakukan di mana pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat apabila kita membantu mereka dengan pelbagai maklumat pada sesi latihan. Kita berkomunikasi dengan baik untuk membantu mereka.

“Saya yakin dengan apa yang sudah mereka tunjukkan pada sesi latihan. Saya sudah melihat kualiti mereka dan mereka boleh buktikan kemampuan mereka pada perlawanan sebenar nanti.

“Cuma kita pun perlu bersabar kerana pemain bukan mesin, mereka adalah manusia yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan maklumat baharu yang diterima. Mereka bukan komputer yang boleh bertindak serta merta.

“Kita perlu menunggu dan kita akan bimbing mereka dengan cara yang betul. Jadi kita perlukan masa untuk membentu pasukan yang lebih baik,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa.

Diminta mengulas prestasi pemainnya sepanjang kem latihan, bekas pengendali Hong Kong itu turut mahukan anak buahnya tampil dengan penuh keyakinan selain sentiasa percaya pada kemampuan diri sendiri.

“Sesi latihan selama seminggu ini bukan setakat menekankan aspek taktikal tetapi juga kepada pembinaan pasukan. Kami mahu lihat mereka bermain sebagai satu unit dan bermain lebih yakin di atas padang.

“Kami percaya pemain boleh tunjukkan model permainan seperti yang sudah dirancang, jadi saya teruja untuk menyaksikan apa yang akan berlaku. Saya mahu lihat bagaimana mereka membawa apa yang diperolehi pada sesi latihan ke aksi sebenar,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: