Bola Sepak

Rizal berdepan hukuman berat daripada FAM


Rizal (tengah) berdepan hukuman dari FAM jika menolak panggilan tanpa sebarang alasan. (Foto : NST)

Oleh : SUBKHI SUDARJI

BEKAS pertahanan Harimau Malaya, Rizal Ghazali berdepan dengan hukuman berat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya terus dengan pendiriannya menolak pelawaan menyertai skuad kebangsaan tanpa sebarang alasan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, kes berkenaan hanya boleh dipanjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas tarikh rehat antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula 21 Mac ini.

Katanya lagi, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak Rizal mengenai keputusan penolakan pemain itu yang kini bersama pasukan Sabah FC.

“Kalau macam Syahmi (Safari) saya ada terima surat daripadanya tetapi untuk kes ini, saya hanya dimaklumkan oleh jurulatih saja. Jika sehingga tarikh itu (rehat antarabangsa FIFA) masih tidak hadir, kita akan bawa ke Jawatankuasa Tatatertib untuk sebarang tindakan yang perlu diambil.

“Sebenarnya kita boleh ambil tindakan jika dia tidak hadiri latihan kebangsaan pada tarikh FIFA. Sekarang ini bukan lagi tarikh FIFA dan kita kena tunggu dulu.

“Untuk pengecualian, kalau ada kecederaan pun, kita kena dapatkan surat daripada doktor dan doktor FAM akan mengesahkan kecederaan itu,”katanya.

Kalendar FIFA bagi bulan ini berlangsung pada 21 hingga 29 Mac ini.

Saifuddin berkata,  hukuman denda RM25,000 atau digantung boleh dikenakan ke atas pemain yang menolak panggilan menyarung jersi Harimau Malaya namun keputusan hanya boleh dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Terdahulu, FAM mengesahkan yang Rizal yang diletakkan dalam senarai menunggu menolak pelawaan sertai skuad kebangsaan bagi menggantikan Syahmi.

Namun FAM mengumumkan pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi menggantikan Syahmi yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: