
PENJARING gol sulung Kuala Lumpur City FC pada pentas final Piala Malaysia 2021 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Zhafri Yahya dipanggil menyertai kem latihan Harimau Malaya sebagai persiapan perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura.
Zhafri yang kini meledak dua gol dalam saingan Liga Super 2022 sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia dipanggil melapor diri bagi menggantikan Darren Lok dari PJ City FC yang terpaksa digugurkan selepas positif Covid-19.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, Darren hadir melapor diri semalam, tetapi didapati positif selepas ujian RTK yang dibuat ketika pemain melapor diri dan disahkan sekali lagi menerusi ujian PCR yang keputusannya diperoleh, pagi ini.
“Walaupun Darren berposisi penyerang, Zhafri disenaraikan untuk membolehkan panel jurulatih meninjau kemampuannya menyusun gerak dari penjuru bahagian tengah.
“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengurusan pasukan kebangsaan mendoakan kesihatan Darren supaya beliau dapat segera sembuh,” ujarnya menerusi kenyataan media, sebentar tadi.
Add Comment