
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PEMAIN lincah Harimau Malaya, Mohd Faisal Halim menyifatkan penyertaannya bersama kem latihan pasukan negara bagi menghadapi aksi persahabatan Tier 1 menentang di Singapura hujung bulan ini merupakan peluang kedua buat dirinya.
Selepas gagal memperagakan aksi pada kejohanan Piala AFF 2021 di Singapura hujung tahun lalu ekoran positif Covid-19, pemain yang kini beraksi bersama Terengganu FC tekad membuktikan kemampuan dibawah kendalian Kim Pan-gon selaku jurulatih baharu skuad kebangsaan.
Baginya, kekecewaan sudah pasti dihadapinya di Singapura sebelum ini namun menganggap apa yang berlaku adalah takdir.
“Saya hanya turun bermain satu perlawanan, memang kita tidak mahu apa yang berlaku (Covid-19) namun apakan daya takdir dalam bola sepak namun saya percaya dengan rezeki.
“Ini peluang kedua saya buat saya,” jelasnya ditemui pada sesi latihan kem Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Harimau Malaya kini dalam persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac ini sebelum berdepan Singapura tiga hari kemudian serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura.
Mengenai kemungkinan akan ada perubahan corak latihan dibawah kendalian Pan-gon, pemain yang turut diintai kelab luar negara sebelum ini mengakui perkara ini pastinya akan berlaku.
“Sudah pasti akan ada perbezaan, melihat kepada perbincangan yang diadakan bersama pemain sebelum ini, dia (Pan-gon) memperlihatkan kesungguhan untuk membawa Harimau Malaya lebih maju diperingkat lebih tinggi dań apa yang diinginkan.
“Perubahan taktikal dan corak permainan pasti dan kini terpulang kepada pemain itu sendiri sama ada mampu atau sebaliknya,” katanya.
Add Comment