Bola Sepak

Latihan pertama skuad Harimau Malaya bersama barisan kejurulatihan baharu


Oleh: SUBKHI SUDARJI / MOHD IZARI ROSLI

SERAMAI 27 daripada 30 pemain sudah melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Isnin.

Namun hanya 25 pemain sahaja yang turun menjalani latihan hari pertama yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, lima pemain lagi termasuk tiga tonggak iaitu Darren Lok, Safawi Rasid dan Khair Jones tidak dapat turun berlatih hari ini manakala dua lagi pemain yang berpengkalan di luar negara, Liridon Krasniqi dan Dion Cools pula hanya akan bersama pasukan di Singapura, minggu depan.

“Latihan hari pertama ini hanya memberi tumpuan memulihkan kecergasan pemain dengan latihan penuh akan bermula Rabu ini.

“Hari ini cukup sukar semua baharu tiba dan fokus kepada pemulihan.

“Malam tadi ramai yang bermain (pusingan pertama Piala FA) selama 90 minit dan kita beri keutamaan kepada soal pemulihan.

“Esok pagi kita akan mula dengan taktikal dan latihan yang sebenar mungkin bermula Rabu ini,” katanya pada sesi latihan.

Difahamkan, Safawi terpaksa pulang ke Terengganu ekoran masalah kesihatan ayahnya, manakala Lok pula tidak sihat selepas beraksi menentang Kelantan FC dalam saingan Piala FA malam tadi selain Khair Jones yang baharu selesai menjalani tempoh kuarintin bersama pasukan Negeri Sembilan FC.

Harimau Malaya kini dalam persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac ini sebelum berdepan Singapura tiga hari kemudian serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura.

Perlawanan ini adalah ujian pertama Pan-gon selaku jurulatih dan medan persediaan beraksi di Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini, di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: