Bola Sepak

Krisis ‘kuasa’… KL City FC bakal kehilangan watak-watak penting?


Stanley dan Hodak. Foto: KLCITYFC

ISU tunggakan gaji dua bulan yang dihadapi pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) bukanlah disebabkan tidak ada ‘duit’ sebaliknya kerana krisis dalaman pihak atasan.

Memang mengejutkan apabila KL City dicalit dengan isu tunggakan gaji pemain memandangkan skuad ini dilihat ‘clean’ dalam pengurusan pasukan dan dianggap sebagai ‘underdog’ sehingga berjaya merangkul trofi Piala Malaysia 2021.

Tular di media sosial mengenai kisah yang berlaku dalam pengurusan KL City FC, yang dikarang dalam satu Matchday Program pada aksi pusingan pertama Piala FA menentang Langkawi City FC (Ahad).

“Khalid Abd Samad, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang juga pemilik KLCFC mengumumkan kepada pasukan pada Jumaat yang beliau akan meletak jawatan sekiranya gaji pasukan tertunggak tidak dilangsaikan sebelum perlawanan hari ini.

“Ini berikut tekanan yang dihadapi Khalid dan Stanley (Bernard, CEO) untuk melepaskan genggaman mereka ke atas kelab ini dan memberi laluan untuk puak baharu menerajui KLFA dan mengambil alih pengurusan KLCFC.

“Sekiranya Khalid meletak jawatan, ini akan dituruti Stanley manakala kedudukan jurulatih Bojan Hodak, yang dilantik oleh Stanley juga tergugat.

“Ramai penyokong tidak sedar yang Stanley selama ini melindungi KLCFC dari ancaman politik sejak awal tahun. Satu personaliti telah mengundur diri selepas gagal mengusir Stanley dengan menggunakan seorang ahli perniagaan sebagai proksi.

“Bagi menyelesaikan kemelut ini, Khalid dan Stanley sedia berundur demi kebaikan dan kelangsungan pasukan dan KLCFC.”

Biarpun dihimpit dengan krisis yang tidak sepatutnya berlaku ini, pemain-pemain KL City FC tetap mempamerkan sikap profesional dengan mempamerkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan Liga Malaysia setakat ini.

Bahkan, pemain-pemain juga enggan berkongsi ‘cerita’ di kala Cakap Sukan cuba ‘memancing’ situasi sebenar dalam pasukan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: