Bola Sepak

Misi serampang dua mata Aidil Sharin


Aidil Sharin Sahak. Foto: KDA FC

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mendedahkan dia mempunyai misi tersendiri musim ini selain memastikan kejayaan pasukan tahun ini.

Pengendali kelahiran Singapura berusia 44 tahun ini masih diberi kepercayaan menguruskan pasukan untuk tahun ketiga yang sekaligus Aidil mahu memastikan juga pemain-pemain muda turut diberi perhatian.

“Bersama Kedah musim ini bukan sahaja untuk menjadikan pasukan lebih berjaya dalam Liga Malaysia, malah saya mahu meningkatkan prestasi pemain tempatan khususnya pemain-pemain muda untuk diketengahkan dalam skuad negara.

“Beberapa pemain muda  seperti Fayad Zulkifli, Mohd Al Hafiz Harun, Azmeer Aris yang sudah menampakkan peningkatan yang baik dan mereka ini juga saya yakin bakal dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aidil turut memberitahu, kini dia dalam membantu memberi keyakinan kepada penyerang Syafiq Ahmad yang kembali ke pasukan selepas berpindah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Syafiq kembali menjadi perhatian dengan prestasi baik bersama KDA FC.

“Tugas saya untuk mengembalikan keyakinan diri terhadap kemampuannya selepas tidak selalu berada dalam skuad utama ketika bersama JDT. Dia bukanlah pemain baharu dalam pasukan ini, malah dia sudah bersama pasukan negeri ini sejak umurnya 18 tahun lagi.”

Sementara itu,  Aidil memberitahu dia amat teruja dengan prestasi barisan pemain-pemainnya yang mengatasi juara Piala Malaysia musim lalu pasukan Kuala Lumpur FC dengan keputusan 3-2 pada aksi di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Katanya, kemenangan ini juga turut menambah keyakinan barisan pemainnya yang bakal berdepan Sains FC pada perlawanan pembukaan Piala FA malam esok.

“Inilah kualiti barisan pemain musim ini dan keyakinan diri untuk terus beraksi dengan cemerlang dan tidak memiliki sifat putus asa juga turut mencerahkan harapan kita untuk beraksi lebih baik di pentas Liga Malaysia.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading