KETUA jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong menyenaraikan 20 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad futsal Harimau Malaya bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok, Thailand dari 2 hingga 10 April 2022.
Chun Yong juga menyenaraikan lima pemain dalam Senarai Bersedia jika terdapat sebarang perubahan pada senarai nama 20 pemain di atas.
Menerusi kenyataan media yang disiarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kesemua pemain ini akan melaporkan diri pada 16 Mac 2022 di Arena Futsal, Wisma FAM, Kelana Jaya.
“Pemain-pemain ini telah dinilai oleh Chun Yong sepanjang saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2022 yang telah berlangsung lapan sirkit bermula dari 14 Januari lalu dan akan berakhir dengan Sirkit 9 iaitu sirkit terakhir, hari ini (11 Mac) hingga Ahad, 13 Mac 2022.
“Daripada 20 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat ini, hanya 16 pemain akan dibawa ke Bangkok pada 26 Mac 2022 bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan di sana sebelum kejohanan bermula,” ujar kenyataan tersebut.
Tambahnya lagi, bagi saingan Kejuaraan Futsal AFF 2022, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Brunei manakala Kumpulan B menampilkan empat pasukan – Vietnam, Myanmar, Timor-Leste dan Australia.
Tiga pasukan terbaik akan layak ke Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait, September depan.
Jadual perlawanan membabitkan MALAYSIA
Sabtu, 2 April 2022
MALAYSIA lwn KEMBOJA (3.00pm TH | 4.00pm MY)
Isnin, 4 April 2022
INDONESIA lwn MALAYSIA (3.00pm TH | 4.00pm MY)
Selasa, 5 April 2022
MALAYSIA lwn BRUNEI (3.00pm TH | 4.00pm MY)
Rabu, 6 April 2022
THAILAND lwn MALAYSIA (5.00pm TH | 6.00pm MY)
Add Comment