Bola Sepak

Sukan SEA Hanoi: Skuad B-23 jadi taruhan ‘ibu segala emas’, FAM tak hantar pasukan bola sepak wanita


Mohd Saifuddin Abu Bakar

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) Kebangsaan sekali lagi menjadi taruhan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memburu ‘ibu segala pingat’ pada temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan berlangsung 12 hingga 23 Mei ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, tidak timbul sebarang isu berhubung keputusan menghantar skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney biarpun mereka mempunyai jadual kejohanan yang padat dengan penganjuran temasya dwitahuan itu.

Jelasnya, barisan kejurulatihan kebangsaan telah berbincang dan mengenalpasti pemain-pemain yang akan dipilih bagi menggalas cabaran negara tanpa merencatkan persiapan pasukan menghadapi Kejuaraan Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang dijadualkan Jun ini.

Perbincangan tersebut melibatkan Maloney, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon dan juga Pengarah Teknikal Scott O’Donell.

“Setakat ini tiada sebarang masalah, ketiga-tiga individu itu dapat bekerjasama dan saling memahami kehendak pasukan masing-masing,” ujarnya kepada Bernama.

Dalam pada itu Mohd Saifuddin memberitahu, skuad B-23 diletakkan di bawah Kategori B bersama- sama pasukan futsal lelaki dan wanita manakala eRimau yang merupakan pasukan e-sukan negara akan bertanding atas tiket Kategori A pada temasya tersebut.

Pun begitu,  Mohd Saifuddin memberitahu FAM tidak menghantar penyertaan dalam acara bola sepak wanita dan tidak menyatakan sebab berbuat demikian.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: