Bola Sepak

NSFC bukan sekadar pelengkap Liga Super 2022


Pemain-pemain Negeri Sembilan FC musim 2022. FOTO: IZARI ROSLI

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri mengharapkan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) bukan sekadar pelengkap dalam saingan Liga Super musim ini.

NSFC berjaya kembali ke pentas Liga Super musim ini selepas merangkul trofi kejuaraan Liga Premier 2021.

“Kami bersyukur dapat kembali ke Liga Super dan harapan dapat memberi saingan baik kepada semua pasukan lain. Kita sasarkan untuk kekal (Liga Super) bukan hanya untuk satu musim tetapi musim-musim seterusnya.

“Kalau dapat pertengahan (kedudukan) pun sudah bersyukur berdasarkan persiapan yang telah dibuat. Kami mahu beri saingan yang terbaik untuk terus kekal,” ujarnya selepas Majlis Pelancaran Jersi Pasukan dan Memperkenalkan Pemain Musim 2022 pada Ahad.

Tunku Syed Razman (tengah) pada Majlis Pelancaran Jersi Pasukan dan Memperkenalkan Pemain Musim 2022. FOTO: IZARI ROSLI

Mengenai peruntukan musim ini, Tunku Syed Razman bersyukur kerana dapat mengumpul dana walaupun dalam situasi sukar pandemik Covid-19.

“Mungkin tidak setinggi pasukan-pasukan lain tetapi bagi saya dan pengurusan amat bersyukur. Cuma harapan kami selepas ini dapat mengumpul lebih banyak untuk menambah baik apa yang ada,” tambahnya.

NSFC akan membuka tirai persaingan Liga Super musim ini dengan berkunjung ke Sabah pada 4 Mac sebelum bertandang ke Terengganu pada 9 Mac ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: