Bola Sepak

Forestieri titis air mata julang trofi pertama selepas 15 tahun bergelar pemain


Forestieri menjaringkan gol kedua JDT ketika ketika saingan Piala Sumbangsih bertemu KL City FC.

TIADA apa yang paling bermakna buat penyerang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri apabila akhirnya dapat menjulang trofi buat kali pertama dalam karier setelah 15 tahun bermain selaku pemain profesional.

Menurut penyerang berasal dari Argentina ini, kejayaan memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC, 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim akan menjadi detik yang tidak akan dilupakan.

Malah, dia turut menitiskan air mata semasa sidang media selepas perlawanan JDT dan Kuala Lumpur City FC sehingga ditenangkan oleh ketua jurulatih, Benjamin Mora.

“Sepanjang saya bermain bola sepak walaupun di peringkat tertinggi seperti di Serie A dan Liga Kejuaraan England, saya belum pernah memenangi apa-apa.

“Jadi, piala ini adalah sesuatu yang sangat bermakna kerana sekurang-kurangnya saya ada memenangi sesuatu di dalam karier kerana bola sepak adalah minat serta kehidupan saya. Saya harap keluarga saya ada di sini untuk menyaksikan kejayaan malam ini,sudah tentu ia lebih bermakna.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada jurulatih dan ejen yang membawa saya ke sini malah saya sedia mahu berikan lebih banyak kepada kelab ini,” katanya.

Bekas penyerang Udinese dan Sheffield Wednesday itu meledak salah satu daripada tiga jaringan pada minit ke-32 menerusi rembatan dari luar kotak penalti untuk membantu JDT menang 3-0.

Sebelum itu, Nazmi Faiz membuka tirai jaringan pada minit-26 dan Afiq Fazail melengkapkan gol kemenangan pada minit-84.

Ini juga menjadi kejuaraan kali kelima berturut-turut buat JDT mendakap Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak memenanginya pada 2018 dan kali ketujuh secara keseluruhan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: