Bola Sepak

Piala Sumbangsih 2022 milik JDT, TMJ kekal


Aksi pemain-pemain JDT dan KL City FC.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

HASRAT pengkritik Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melihat pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletak jawatan tidak kesampaian apabila gergasi bola sepak tempatan itu muncul juara Piala Sumbangsih menewaskan KL City FC, 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu malam.

Terdahulu sehari sebelum saingan bermula, Tunku Ismail  membuat kenyataan akan bersara daripada aktiviti bola sepak sekiranya skuad Harimau Selatan itu kecundang buat kali kedua di tangan KL City FC.

Kejayaan ini juga terus melebarkan rekod susunan piala buat kali ketujuh selepas melakukannya pada tahun 2015, 2016, 2018, 2019, 2020 dan 2021.

Pada perlawanan tersebut,  JDT selaku penyandang juara dilihat sedikit tertekan apabila gagal memecah benteng pelawat di sepanjang 20 minit pertama.

Gol yang dicari Harimau Selatan akhirnya muncul menerusi larian cantik Arif Aiman yang berjaya memperdayakan Declan Lambert sebelum membuat hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

Hantaran tersebut ternyata bijak dibaca Nazmi Faiz Mansor yang menanduk bola tepat menerjah jaring gol untuk menewaskan Kevin Mendoza pada minit ke-26.

Selang empat minit kemudian, sorakan penyokong tuan rumah yang memenuhi stadium dengan kapasiti yang dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekali bergema apabila penyerang import baharu, Forestieri Fernando meledak gol kedua menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti.

Memasuki babak kedua, The City Boys mula mempamerkan aksi menyerang menerusi ketua pasukan, Paulo Josue dan penyerang import baharu, Koubemba Kevin.

Akram Mahinan memiliki peluang merapatkan jurang pada minit ke-48 namun rembatannya tertampan pertahanan tuan rumah.

Kelicikan Arif Aiman terus memberikan ancaman buat pelawat apabila gerakan solonya selepas mengelecek pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan sedikit tersasar pada minit ke-53 ketika Mendoza sudah pun tertewas.

Belum berpuas hati dengan dua gol, JDT terus mengasak memburu gol ketiga dan hampir berjaya memperolehinya pada minit ke-65 menerusi Bergson da Silva namun tiang gol menjadi penghalang.

Berbaki 20 minit separuh masa kedua, Benjamin Mora memasukan Safawi Rashid serta Ramadhan Saifullah dengan mengeluarkan Nazmi dan Leandro untuk menambahkan sengat jentera serangan.

Kemasukan dua pemain berkenaan memberikan impak menerusi gerakan pantas yang dijelmakan menyebabkan anak didik Bojan Hodak tertekan.

Ketangkasan Farizal Marlias pada minit ke-82 nyata menyelamatkan gawangnya selepas tandukan dari Paulo Josue.

Pemain gantian, Afiq Fazail memastikan kemenangan mutlak buat JDT apabila turut mencetak nama selaku penjaring gol ketiga pada minit ke-83.

Kedudukan 3-0 itu kekal sehinggalah wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin untuk kemenangan mutlak kali ketujuh buat JDT.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: