
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PRESIDEN Kuala Lumpur City FC, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan hasrat meletakkan jawatan yang disandangkan ekoran kekangan masa selain memberi peluang kepada individu baharu.
Jelas Annuar, keputusan ini dibuat bagi memberi peluang kepada mereka yang baru untuk memimpin pasukan selepas menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.
“Sebenarnya saya berhasrat dan dah sebut secara lisan untuk saya berundur daripada jadi presiden KL City FC untuk memberi peluang pula kepada mereka yang baru untuk memimpin pasukan setelah menjuarai Pial Malaysia, tapi saya sentiasa untuk memberi input dari belakang lah.
“Saya belum bagi hitam putih tapi saya dah beritahu secara lisan, bila berkuatkuasanya apabila saya hantar notis bertulis, mereka melantik saya pun dengan ada surat hitam putih, jadi saya akan juga dengan penuh hormat akan hantar surat kepada mereka,” jelasnya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran RTM selaku rakan penyiar Unifi untuk bola sepak Liga Malaysia 2022 anjuran MFL.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, selaku presiden kelab seharusnya dia perlu memberikan masa yang lebih buat pasukan.
“Sejak saya berada di kementerian ini, masa saya sangat terhad dan mendapati seseorang yang menduduki tempat saya sebagai presiden kepada kelab perlu memberikan masa yang lebih kepada pasukan.
“Kita perlu adil, kita tak boleh nak bergayut pada jawatan kalau kita rasakan kita ada kekurangan atau jangka ada orang lain yang boleh buat lebih baik, jadi saya dah buat setakat saya termampu.
“Sejak berada di Kementerian ini saya dah banyak perkara saya nak buat tak dapat buat kerana kekangan masa, jadi elok lah KL Ciy FC sedang meningkat, kalau bayi tu sedang perlu perhatian jadi elok seseorang yang saya harap dapat memberikan bimbingan seterusnya kerana KL City FC mempunyai potensi sangat besar,” tegasnya yang turut memaklumkan tidak tahu calon pengganti yang sesuai.





Add Comment