Bola Sepak

Liga M 2022 : Perak FC gagal daftarkan Indra Putra, Wan Zack Haikal dan Syamim


Oleh : SUBKHI SUDARJI

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga bekas pemain kebangsaan yang menyertai The Bos Gaurus musim ini tidak berada dalam senarai 20 pemain yang didaftarkan Perak FC sebaik sahaja tamat pendaftaran pemain, semalam.

Hal ini kerana, pasukan terbabit masih lagi disekat daripada mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta.

Difahamkan hutang berkenaan membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import selain turut berkaitan pembayaran kepada ejen pemain.

Mereka adalah Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, MFL telah menerima senarai 20 pemain yang didaftarkan bagi Perak FC.

“Pemain yang didaftarkan adalah pemain Liga Super tahun lalu yang dipanjangkan kontrak, pemain Piala Presiden dan juga Piala Belia, ketika ini pihak Sekretariat MFL sedang menyemak semua dokumen yang dihantar.

“Indra Putra, Wan Zack Haikal dan Ahmad Syamim tiada dalam senarai 20 pemain yang didaftarkan, tiada pemain baharu.

“Mengenai status ketiga pemain ini, seharusnya Perak FC yang menjawabnya, mungkin ada perbincangan pemain dengan pengurusan (Perak FC),” ujarnya ditemui selepas Majlis Pelancaran RTM selaku rakan penyiar Unifi untuk bola sepak Liga Malaysia 2022 anjuran MFL, sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama, Stuart turut mengesahkan UiTM FC akan menyertai saingan Liga Premier musim ini selepas mengemukakan 25 senarai pemain.

“Saya laporkan disini UiTM FC telah mendaftarkan 25 pemain dan mengikut pendaftaran ia sememangnya mencukupi, saya rasa tiada masalah untuk mereka bertanding pada 4 dan 5 Mac nanti,” katanya.

 

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading