Bola Sepak

KUFC setara dengan Penang FC – Syamsul


Penyerang import baharu KUFC, Njoku Jacob meledak satu gol membantu kemenangan pasukan ke atas Penang FC, Sabtu lalu.

KETUA jurulatih Kelantan United FC (KUFC) Syamsul Saad menyifatkan prestasi anak didiknya agak setara dengan Penang FC selepas kejayaan menundukkan Penang FC 2-0 pada aksi persahabatan pra musim di Georgetown, Sabtu lalu.

Syamsul berkata, ia merupakan aksi terbaik dipamerkan barisan pemain selepas mengambil alih tugas mengemudi pasukan ini, sejak dua bulan lalu.
“Daripada segi aspek bertahan dan menyerang, saya rasa kita agak setara dengan Penang FC. Pemain nampak sangat selesa dan paling penting keserasian pemain, kita boleh lihat bila dalam situasi bertahan dan menjana serangan.
“Mereka (pemain) lebih selesa beraksi dengan penguasaan bola dan saya lihat benteng pertahanan juga cukup solid, lebih berani membina (corak) permainan walaupun jarang tapi dalam banyak keadaan mereka selesa dan ini sangat penting kepada pasukan,” katanya menerusi kenyataan disiarkan Facebook KUFC.
Namun disebalik kemenangan tersebut, Syamsul bagaimanapun percaya masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan terhadap kelabnya menjelang aksi sulung liga, awal bulan depan.
“Saya rasa terdapat beberapa aspek yang perlu kita baiki terutama daripada segi menyudahkan peluang di depan pintu gol. Kita cipta banyak peluang tapi gagal menggunakannya untuk menjaringkan gol.
“Ada peluang untuk tembusi tetapi hantaran terakhir itu yang menyebabkan pergerakan kita gagal (menjaringkan gol). Jadi ini (berkisar) kualiti individu, kita akan lebih fokus memperbaiki kelemahan ini,” tegasnya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading