
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) perlu bangkit dan terus berjuang dalam meghidupkan kembali sukan bola sepak Negeri.
Pasukan Kelab Bola Sepak Perlis United (PUFC) ditawarkan untuk menyertai beberapa liga tempatan musim ini sekali gus penyokong bola sepak Perlis dapat melihat kembali pasukan mereka beraksi semula di pentas Liga Malaysia.
“Saya yakin Perlis akan bangkit kerana landasan itu sudah ada yang mana mereka mempunyai akademi dan liga sendiri (Akademi Star Lion Perlis FA dan Liga Perlis) malah PUFC juga sudah masuk ke dalam Liga M3.
“Ini usaha yang besar dan harus dipuji kerana ia membuktikan komitmen Perlis dalam membangunkan semula bola sepak Negeri,” kata Hamidin pada sesi kunjungan hormat FAM ke atas PFA, Isnin.
Jelas Hamidin, FAM sememangnya sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungan.
“Menjadi hasrat dan cita-cita FAM untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan ahli gabungan,” katanya.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkongsi maklumat terkini mengenai keadaan semasa bola sepak Negeri yang mana 2022 disifatkan PFA sebagai kebangkitan semula pasukan Singa Utara.
Zamri turut menambah pihaknya akan sentiasa memastikan PFA mematuhi peraturan bola sepak FAM dalam usaha menaikkan lagi mutu serta prestasi pasukan.
“Kita juga berterima kasih dengan Datuk Haji Hamidin dan FAM yang banyak menyalurkan sokongan sehingga mampu kembali berada di landasan yang tepat ketika ini.
“Sokongan FAM akan terus menjadi pemangkin buat PFA membangunkan lagi bola sepak Negeri,” katanya.
Kunjungan hormat ke atas PFA adalah yang kesembilan selepas FAM ke Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM),Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
Ia selari dengan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) yang dilancarkan selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 F:30.
Pertemuan ini juga kunjungan hormat pertama untuk tahun 2022 selepas terhenti seketika ekoran kekangan pandemik Covid-19.
Turut mengiringi Hamidin ialah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram, barisan ahli jawatankuasa eksekutif FAM dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.
Add Comment