Oleh : SUBKHI SUDARJI
SKUAD Bolasepak Bawah 23 tahun (B-23) negara terus diuji apabila Shafi Azswad Sapari yang dipanggil bagi menggantikan Fahmi Daniel Zaaim yang disahkan positif Covid-19 turut berdepan dengan masalah yang sama.
Shafi Azswad yang merupakan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II disahkan positif Covid-19 selepas menjalani keputusan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja, semalam.
Pengendali B23, Brad Maloney memaklumkan Shafi Azswad kini ditempatkan ke kemudahan perubatan untuk menjalani pengasingan.
“Secara jujurnya, Shafi Azswad disahkan positif Covid-19 selepas dia menjalani ujian calitan seperti ditetapkan protokol sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja.
“Sudah tentu ia sesuatu yang mengecewakan apabila kita tidak dapat menggunakan khidmat mereka. Jumlah pemain dalam skuad pun berkurangan tetapi kita perlu hadapi situasi ini,” kata Maloney.,” ujarnya pada sidang media secara maya sebentar tadi.
Shafi Azswad Sapari dipanggil bagi memperkukuhkan skuad bawah-23 tahun (B-23) kebangsaan kendalian Brad Maloney yang menyertai Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-23 2022 di Phnom Penh, Kemboja bermula dari 14 hingga 26 Februari ini.
Malaysia akan membuka tirai berdepan Myanmar pada esok sebelum aksi kedua menentang Laos pada Jumaat.
Empat pasukan akan berentap di separuh akhir pada 24 Februari sementara final dijadual berlangsung pada 26 Februari.
Kumpulan A menampilkan tuan rumah Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei manakala Kumpulan C turut dibarisi tiga pasukan iaitu Thailand, Vietnam dan Singapura.
Add Comment