
Oleh: JJFIRDAUS
FORMULA 1 akan terus berlumba di Bahrain sehingga tahun 2036 selepas lanjutan kontrak antara Formula One Management bersama promoter perlumbaan, Litar Antarabangsa Bahrain.
Litar yang terletak di Sakhir itu mula menganjurkan pelumbaan pada 2004 dan telah memberikan banyak perlumbaan yang menarik dengan tahun 2020 menyaksikan dua konfigurasi litar digunakan dalam dua Grand Prix berbeza.
Sirkit ini juga akan digunakan sebagai venue untuk ujian pra-musim rasmi 2022 dan juga sebagai pembuka tirai musim baharu ini dengan Grand Prix Bahrain pada 20 Mac.
“Saya gembira kami akan terus berlumba di Litar Antarabangsa Bahrain sehingga 2036 dengan lebih banyak perlumbaan yang mendebarkan dan memberikan keterujaan buat para penonton,” kata CEO Formula 1, Stefano Domenicali mengenai lanjutan kontrak 14 tahun ini.
“Sejak 2004 kita telah menyaksikan banyak perlumbaan menarik di Sakhir dan sekarang kita tidak sabar untuk kembali ke sini untuk memulakan kempen 2022 yang akan memasuki era baharu sukan terpantas dunia ini.”
“Bahrain adalah negara Timur Tengah pertama yang menganjurkan perlumbaan F1 dan mempunyai tempat yang istimewa dalam sukan ini. Kami juga mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada Putera Salman dan pasukannya atas dedikasi dan kerja keras sepanjang kerjasama kami.”
Kenyataan CEO Formula 1 ini disambut gembira CEO Litar Antarabangsa Bahrain, Sheikh Salman bin Isa Al Khalifa yang berbangga untuk menjadikan Grand Prix Bahrain sebagai sebahagian daripada sejarah Formula 1.
“Pertumbuhan dan minat terhadap sukan permotoran dan Timur Tengah telah meningkat secara signifikan selepas Bahrain mula menjadi salah satu venue dalam kalendar Formula 1 sejak 18 tahun lalu,” tambah Sheikh Salman.
Add Comment