Permotoran

Red Bull lancar jentera baharu RB18 musim 2022


RED Bull Racing telah melancarkan jentera baharu untuk kempen Formula 1 2022, RB18 dengan memperagakan model kereta contoh dan bukannya jentera sebenar.

Juara dunia kategori pengeluar empat kali itu adalah pasukan kedua melancarkan jentera musim 2022 selepas pasukan Haas melakukannya minggu lalu dengan kehadiran juara dunia, Max Verstappen dan rakan sepasukan, Sergio Perez.

Red Bull memperagakan livery baharu kereta mereka yang menyerupai kereta contoh yang digunakan F1 untuk menayangkan peraturan baharu secara maya dari Kampus Teknologi Red Bull Racing.

“Kereta yang dipamerkan ini tidak akan kelihatan seperti ini ketika kami memulakan perlumbaan pertama di Bahrain nanti,” kata Prinsipal Pasukan Christian Horner dengan semua pasukan akan cuba menyembunyikan rekaan terbaharu mereka dari pesaing selama yang boleh.

Ini juga adalah jentera pertama yang direka Red Bull sejak pembekal enjin, Honda meninggalkan sukan ini. Enjin yang bakal mereka gunakan telah direka oleh pengeluar Jepun itu namun ianya akan dijenamakan di bawah nama ‘Red Bull Powertrains’.

Max Verstappen akan berlumba menggunakan nombor satu di kereta beliau berbanding nombor 33 sebelum ini untuk mempertahankan kejuaraan pemandu bersama-sama Sergio Perez yang kembali bersama pasukan untuk tahun kedua.

Max Verstappen

“Untuk musim ini, kami sebagai pemandu perlu cepat mengadaptasi dengan jentera baharu kerana banyak perubahan telah berlaku dan bukannya sekadar naik taraf seperti sebelum ini,” jelas Verstappen.

Perez pula nyata tidak sabar untuk kembali ke litar dengan kereta baharu ini dan menganggap semua pelumba akan bermula dari kosong disebabkan peraturan baharu.

Dalam majlis yang sama, Red Bull turut mengumumkan kerjasama yang diperluaskan bersama Oracle dengan syarikat storan digital berpangkalan di Amerika Syarikat itu akan menjadi penaja utama yang menyaksikan  akan bersaing dibawah nama Oracle Red Bull Racing.

Musim baharu Formula 1 akan bermula pada 20 Mac di Grand Prix Bahrain dengan rekod 23 perlumbaan dengan pengakhiran di Grand Prix Abu Dhabi pada 20 November nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d