RACING Boy (RCB), syarikat kelengkapan motosikal terkenal di Malaysia, kini menjadi penaja rasmi untuk lapan pasukan MotoGP pada Kejohanan Dunia 2022.
Terbaharu RCB mengumumkan menaja pasukan Yamaha Factory, Repsol Honda, VR46 Racing, Aprilia Racing, Gresini MotoGP, KTM Tech 3, KTM Factory dan RNF Racing.
RCB dalam kenyataan memaklumkan tajaannya termasuk pelindung tuil brek gentian karbon, ‘paddock stands’ titanium untuk depan, belakang dan casis, rak tayar titanium dan tempat duduk motosikal. Selain lapan pasukan MotoGP itu, RCB juga bekerjasama dengan empat pasukan masing-masing dalam Moto2 dan Moto3.
Jenama itu bersedia untuk diketengahkan dalam Kejohanan Superbike Dunia 2022 kerana akan menaja MIE Honda Racing yang disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.
Selain itu, RCB juga akan menaja 11 pasukan dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia dan 14 pasukan bagi Kejohanan Motosikal Asia (ARRC). Syarikat itu juga merupakan penaja peribadi bagi bakat Malaysia Kasma Daniel Kasmayudin (dalam ARRC).
Add Comment