
Oleh: JJFIRDAUS
LEWIS Hamilton kembali ke media sosial selepas hampir dua bulan berdiam diri dan mengumumkan dia sudah ‘kembali’ dalam hantaran media sosial pertama sejak kontroversi di akhir perlumbaan Grand Prix Abu Dhabi Disember lalu.
Hamilton tewas dalam perlumbaan terakhir musim 2021 sekaligus gagal bergelar juara dunia dalam keadaan dramatik menerusi pengakhiran kereta keselamatan yang kontroversi dan menyaksikan Max Verstappen muncul pemenang dan juara dunia.
Pelumba Mercedes AMG Petronas itu yang dinafikan rekod gelaran juara dunia kelapan telah memberikan satu temubual pendek di ‘parc ferme’ selepas perlumbaan dan kemudiannya mengambil sikap berdiam diri sehingga hari ini.
Dalam kemaskini pertama media sosial beliau dalam 56 hari, Hamilton membuat hantaran
“I’ve been gone. Now I’m back!”. Hantaran yang pendek tetapi bermakna ini turut disertai gambar beliau yang tersenyum di sebuah lokasi yang dikatakan di Grand Canyon, Amerika Syarikat.
Hantaran ini menjadi tular dan diperbualkan oleh peminat dan semua yang terlibat dalam sukan permotoran ini yang mengatakan ianya adalah tanda positif mengenai masa depan juara dunia tujuh kali ini yang dikatakan bakal bersara ekoran keputusan yang memedihkan di Abu Dhabi.
Kali terakhir Hamilton dilihat membuat penampilan awam sejak Grand Prix Abu Dhabi itu adalah apabila beliau dikurniakan anugerah ‘Sir Lewis Hamilton’ oleh Ratu England, Ratu Elizabeth di Istana Windsor.
Hamilton masih mempunyai baki kontrak sebanyak dua tahun bersama Mercedes dan sebelum ini dia telah menyatakan keterujaan dan rasa gembira mengenai era, kereta dan peraturan baharu Formula Satu untuk musim 2022.
Mercedes akan melancarkan kereta musim 2022 pada 18 Februari ini dan membuat kenyataan bahawa kedua-dua pelumba mereka akan turut serta dalam acara yang dilakukan secara maya itu.
Untuk musim 2022 ini, Lewis Hamilton bakal bergandingan dengan seorang lagi pemandu Britain, George Russell yang menggantikan Valtteri Bottas yang berpindah ke Alfa Romeo untuk rekod baharu 23 perlumbaan dalam semusim.
Perlumbaan Formula Satu musim 2022 akan bermula pada 20 Mac di Grand Prix Bahrain dan berakhir pada 20 November di Grand Prix Abu Dhabi yang menyaksikan perlumbaan kembali semula ke Australia, Kanada, Jepun dan Singapura manakala Miami, Amerika Syarikat melakukan debut.
Add Comment