
Oleh: JJFRIDAUS
PENUNGGANG Repsol Honda dan juara MotoGP lapan kali Marc Marquez telah mengalami satu lagi kecederaan ketika latihan semasa cuti musim sejuk yang menggangu usahanya untuk kembali kepada prestasi sebenar.
Selepas bertarung untuk kembali cergas ekoran kemalangan yang hampir menjejaskan karier akibat kecederaan pada lengan kanan, pelumba bernombor 93 ini telah didiagnos pula mengalami diplopia yang berulang susulan kemalangan motorcross yang menyaksikan Marquez terpaksa diketepikan dari dua pelumbaan terakhir musim 2021.
Namun begitu, kini dia telah diisytiharkan cergas dan Marques telah kembali ke litar dan sedang menghadapi cabaran di ujian pra-musim rasmi pertama MotoGP musim 2022 di Litar Antarabangsa Sepang bersama semua pelumba lain menguji jentera masing-masing.
Menerusi blog rasminya, Marques menceritakan bagaimana dia melalui proses pemulihan dan kesabaran yang diperlukan untuk kembali cergas serta apa yang dia inginkan untuk menghadapi musim baharu ini.
“Hello semua! Sudah agak lama saya tidak berkongsi dengan anda tentang apa yang saya lalui sepanjang musim sejuk ini. Sukar buat saya memilih kata-kata yang tepat kerana terlalu banyak perkara yang tidak pasti tentang masa depan saya dalam MotoGP.”

“Dengan masalah diplopia yang muncul kembali, saya tidak pasti adakah dapat beraksi semula. Agak sukar untuk hidup dalam keadaan normal dengan dua pandangan dan hanya mampu menghabiskan masa di rumah.”
“Dr. Sánchez Dalmau, doktor yang merawat saya telah menyarankan agar saya menggunakan rawatan konservatif yang memakan masa dan memerlukan kesabaran. Saya lakukan seperti apa yang dinasihatkan dan saya berjaya memulihkan semula pandangan saya dan kini berada dalam tahap terbaik untuk kembali semula ke litar.”
“Ujian di Sepang bakal menguji sama ada saya sudah bersedia secara fizikal terutama bahagian lengan saya berbanding tahun lalu dan juga melihat hasil kerja keras pasukan terhadap pembangunan jentera baharu dan kemajuan kami.”
“Saya sememangnya sukakan kehangatan di Malaysia kerana saya benci musim sejuk dan kini semakin mencapai tahap yang saya inginkan sebagai atlet. Berada di atas jentera MotoGP sememangnya mengujakan. Terima kasih di atas segala sokongan anda.”
Perlumbaan MotoGP musim 2022 akan membuka tirai pada 6 Mac di Qatar dan berakhir pada 6 November di Valencia dengan Grand Prix Indonesia kembali semula dalam kalendar selepas 24 tahun manakala Grand Prix Finland melakukan debut.
Add Comment