Permotoran

SIC masih tunggu ‘lampu hijau’ anjur MotoGP 2022


SIC masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan untuk menganjurkan perlumbaan Grand Prix MotoGP 2022.

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan untuk menganjurkan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 yang dijadualkan pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menaruh harapan permohonan penganjuran GP Malaysia itu akan diluluskan pihak berkuasa selepas berakhirnya Ujian Musim Sejuk MotoGP 2022 yang bermula Sabtu sehingga Ahad ini.

“Masih dalam peringkat mohon kelulusan, kami amat berharap lepas ujian musim sejuk dapat kelulusan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara untuk anjur perlumbaan MotoGP pada bulan Oktober nanti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan penganjuran acara berkenaan pada Jumaat.

Situasi pandemik Covid-19 menyebabkan perlumbaan MotoGP di sini dibatalkan buat dua tahun berturut-turut iaitu bagi musim 2020 dan 2021.

Mengenai Ujian Musim Sejuk kali ini, Azhan berkata, pihaknya telah pun bersedia untuk menganjurkan acara itu dan berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan yang banyak membantu.

Mengulas mengenai isu seorang pelumba MotoGP yang didakwa melanggar peraturan gelembung sukan di sini, Azhan mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam ujian itu supaya mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan penganjur iaitu Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) serta Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan mengenai bentuk hukuman yang bakal dikenakan kepada pelumba terbabit selain berharap penganjur juga mengenakan tindakan sewajarnya.

“Kami amat memandang serius isu ini kerana tidak mahu kredibiliti SIC terjejas akibat kesalahan dilakukan pelumba terlibat,” katanya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: