Bola Sepak

Bekas penjaga gol KDA perkuat The Island Boy


Oleh: AMMAR HAZIQ

PASUKAN M3, Langkawi City FC mengumumkan bekas penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Mohamad Firdaus Muhamad memperkuatkan skuad tersebut bagi musim 2022.

Pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang ini dilihat mampu memberikan nilai tambahan kepada benteng akhir pasukan kerana berpengalaman dan pernah menyarung jersi Penang FC, Melaka United FC dan juga Sarawak United FC.

Bersama Kedah, pemain berusia 28 tahun ini juga mencipta nama membantu pasukan menjuarai Liga Premier 2015 serta beraksi dipentas akhir Piala Malaysia 2015.

Langkawi City FC berkata, Mohamad Firdaus tidak asing buat para peminat mereka kerana pernah menabur bakti buat The Island Boy pada musim 2019 sebelum berhijrah ke Sarawak United.

“Beliau sebelum ini juga telah beraksi bersama beberapa pasukan seperti pasukan Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Melaka United FC selain pernah menyarung jersi Skuad B23 tahun Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya pada Sabtu.

Pada aksi beberapa persahabatan pra musim 2022 menyaksikan pasukan tersebut mencatatkan keputusan positif antaranya mengikat Perlis United FC 1-1 di Stadium Tuanku Syed Putra pada 2 Februari lalu.

Langkawi City FC dijadualkan membuka tirai Liga M3 musim ini dengan bertemu Malaysian Universiti di Stadium Lada, Langkawi pada Sabtu namun ditangguhkan berikutan faktor yang tidak dimaklumkan.


Add Comment

Click here to post a comment