
SALAH seorang pemain Penang FC, Adib Raop yang terlibat dalam adegan pergaduhan bersama Terengganu FC II Khamis lalu dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Pemain kelahiran Perak berusia 22 tahun itu mengalami pendarahan di hidung gara-gara cuba meleraikan pergaduhan antara kedua-dua pasukan pada aksi 4 Penjuru Piala MB Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Bagaimanapun Penang FC pada Ahad mengesahkan bahawa pemain itu tidak mengalami kecederaan patah hidung selepas hasil pemeriksaan yang dibuat di Island Hospital Pulau Pinang.
“Apa yang diperoleh melalui pemeriksaan tersebut adalah, Adib Raop hanya didapati mengalami kerosakan pada bahagian tulang rawan dan luka di bahagian dalam hidung.
“Luka berkenaan yang menjadi punca pendarahan tetapi keadaan tersebut sebenarnya masih dalam keadaan yang terkawal.
“Buat masa ini, Adib Raop telah pun dinasihatkan oleh doktor untuk memakai topeng muka semasa menjalani latihan. Selain itu, dia masih memerlukan pemantauan rapi dengan beberapa bantuan ubat, bagi memastikan tiada lagi pendarahan semasa dalam proses penyembuhan luka tersebut.
“Sehubungan dengan itu, pihak Pengurusan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih buat semua penyokong setia Harimau Kumbang dan peminat-peminat Adib Raop dari negeri Perak yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan dan kesegeraan sembuh beliau,” kongsinya Penang FC di laman Facebook rasmi kelab.





Add Comment