Bola Sepak

Yadzan dakwa kini presiden PAFA yang sah


Datuk Muhammad Yadzan Mohammad. (Foto : VocketFC)

KEMELUT kepimpinan bola sepak Perak kian berlarutan apabila Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mendakwa dirinya adalah peneraju badan induk itu yang sah bagi penggal 2021 hingga 2025.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat dalam Kongres Tahunan PAFA Kali ke-63 yang berlangsung hari ini selain turut mendapat sokongan daripada tujuh ahli gabungan badan induk berkenaan.

“Sepatutnya pelantikan ini dibuat pada tahun lepas, namun disebabkan penularan COVID-19, kita terpaksa tangguhkan ke tahun ini dan ia bukan sahaja melibatkan jawatan presiden tetapi keseluruhan jawatankuasa kepimpinan PAFA.

“Pelantikan ahli jawatankuasa baharu ini juga telah disokong sebulat suara oleh tujuh ahli gabungan PAFA iaitu Majlis India Perak, Teluk Intan, Bagan Datuk, Pengkalan Hulu, Tanjung Malim, Kuala Kangsar dan Batu Gajah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 19 Disember lalu, Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Hilir Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dipilih sebagai Presiden PAFA bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sejak 21 Januari 2020.

Pemilihan Mohd Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong itu turut dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dianjurkan 14 ahli gabungan PAFA.

Pada Januari lalu, Mohd Azhar berkata Pesuruhjaya Sukan (PJS) perlu memberi maklum balas segera berhubung notis aduan rasmi dihantar ahli-ahli gabungan PAFA bagi menyelesaikan kemelut melanda badan induk itu.

Ia juga penting bagi meleraikan kekusutan yang wujud dan memberikan pengesahan mengenai pihak mana yang mempunyai hak untuk menerajui PAFA.

Sementara itu, Muhammad Yadzan berkata kongres hari ini turut melantik Naib Presiden III PAFA, Datuk Seri G Irudianathan sebagai timbalan presiden manakala Naib Presiden II PAFA, Abdul Aziz Yeop pula mengisi kekosongan jawatan naib presiden I. – Bernama-


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: