
Oleh: JJFIRDAUS
PERSIAPAN pra-musim semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia 2022 sedang rancak dilakukan dan Sabah FC tidak terkecuali dalam mempersiapkan skuad bagi menghadapi musim baharu.
Sabah FC menganjurkan kejohanan empat penjuru merebut Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan Kedah Darul Aman FC, TRW Kelantan FC dan Sarawak United sebagai pasukan jemputan.
Piala SMJ ini akan berlangsung dari 12 hingga 18 Februari dengan setiap pasukan akan bertemu sesama sendiri dalam pusingan ’round robin’ dengan pemenang bakal membawa pulang trofi Piala SMJ yang julung kali diadakan.
Pertandingan mini ini juga akan menerima kunjungan penyokong setia ke Stadium Likas dengan dua pilihan tiket dijual iaitu pas semua perlawanan dan juga pas harian secara atas talian bermula 10 Februari dengan harga yang berpatutan.
Sabah FC yang diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan seperti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, dan dua bekas pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali pastinya mahu memastikan kejohanan ini menjadi medan buat mereka mencapai keserasian.

Dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini tewas kepada Kuching City FC 0-1 sebelum mengikat skuad bawah 23 tahun negara dengan keputusan 1-1.
Pengendali Sabah itu juga berharap agar Piala SMJ ini akan menjadi medan penting buat dua pemain antarabangsa baharu mereka bagi mengatasi ketumpulan bahagian serangan Sabah FC.
Kejohanan mini ini akan membuka tirai esok dengan Sabah bakal menguji skuad The Red Warrior Kelantan sebelum Derbi Borneo bertemu Sarawak United pada 15 Februari sebelum menutup tirai menentang Kedah Darul Aman pada 18 Februari.





Add Comment