TIGA pemain dan dua pegawai pasukan dalam saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) dikenakan hukuman penggantungan dan denda susulan berkelakukan ganas dan salah laku terhadap pegawai pertandingan.
Pengerusi Jawatankuasa Tatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata mereka terdiri dari pemain Perak, Muhamad Norakmal Norizal dan Pemain Selangor TOT United, Muhammad Amirul Sugito digantung tiga perlawanan termasuk satu secara automatik kerana melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM.
Katanya, Norakmal didapati berkelakuan ganas apabila mencekik pemain pasukan lawan ketika aksi antara Perak dan KPT-PST Mustangs pada 4 Februari lalu manakala Muhammad Amirul pula didapati menyiku pemain lawan dalam perlawanan Selangor Tot dan TRW Kelantan FC, 5 Februari lalu.
“Pemain Kedah, Muhammad Hamzah Ahmad pula digantung tiga perlawanan atas kelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pegawai pertandingan apabila secara agresif menolak pengadil kedua di bahagian dada dengan menggunakan kedua-dua tangannya sebanyak dua kali ketika pengadil menuju ke bilik persalinan dalam perlawanan antara Kedah dan Perak, 5 Februari lalu.
“Pegawai pasukan PDRM FC, Mohd Zulhilmi Razali pula digantung tiga perlawanan dan didenda sebanyak RM1,000 kerana melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM apabila memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika kumpulan pengadil dalam perjalanan masuk ke bilik pengadil ketika perlawanan antara KPT-PST Mustangs menentang PDRM FC, 4 Februari lalu,” katanya menerusi siaran media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM Kali Keenam Bagi Penggal 2021-2025.
Tambanhya lagi, pegawai KL City FC, Devandran Supramanium pula digantung empat perlawanan selepas melanggar Artikel 62 Kod Tatatertib FAM kerana tindakannya masuk ke bilik pengadil dan mengugut pengadil kedua selepas perlawanan antara KL City FC dan KPT-PST Mustangs, 6 Februari lalu.
“Semua pemain dan pegawai pasukan yang dikenakan hukuman itu boleh membuat rayuan selain mereka turut diberi amaran keras dengan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama,” ujarnya.
Add Comment